Hati...

Ubat hati, ada lima perkaranya,
Yang pertama baca quran dan maknanya,
Yang kedua, solat malam dirikanlah,
Yang ketiga zikir malam berpanjangan,
Yang keempat, banyakkanlah berpuasa,
Yang kelima berkumpullah dengan orang-orang soleh.


Tulisan diatas bukanlah puisi nukilan sendiri;-) tapi merupakan lirik sebuah lagu yang didendangkan oleh kumpulan nasyid dari seberang (mungkin dah tersalah susun). Dah banyak kali dengar lagu ni diputarkan di stesen radio IKIM. Tiba2 hari ni rasa nak tulis pasal sesuatu yang ada kaitan dengan lagu ni iaitu "penyakit hati".

Rasulullah bersabda yang maksudnya:"Didalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rasak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati".(hadis riwayat Bukhari)

Mengenai bahayanya penyakit hati ini, jika dibiarkan akan samakin serius, dan yang lebih menakutkan adalah kewujudannya seolah-olah tidak diketahui oleh individu tersebut walhal tanda-tandanya jelas kelihatan seterusnya menyebabkan individu tersebut lalai dan hanyut dibuai nafsu. Hal ini mungkin terjadi kerana individu tersebut tidak berhati-hati dengan tindak-tanduknya yang menurut hawa nafsu. Pokoknya adalah disebabkan hati sudah terkena penyakit.

Persoalannya disini, adakah mereka ini betul-betul tidak menyedari atau buat-buat tidak sedar?
Mari kita sama-sama menghayati firman Allah dalam surah Al-Jaasiyah ayat 23 yang bermaksud;

"maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan ilmu-Nya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"

Antara penyakit hati yang menular pada akhir zaman ini adalah seperti yang diriwayatkan iaitu Al-Wahan -penyakit yang mana seseorang itu cintakan dunia dan takutkan mati. Bukan menjadi satu kesalahan untuk menikmati kesenangan dunia, tetapi janganlah sampai kesenangan dunia itu mengelabui mata hati dan seterusnya menyebabkan kita lupa akan peranan kita sebagai hamba Allah dimuka bumi. Analogi yang cukup mudah, apabila kita menaiki sampan untuk menangkap ikan, tidak salah untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak, tapi janganlah sampai hasil itu terlalu banyak lalu menyebabkan sampan yang kita naiki karam!


Untuk mengelakkan penyakit ini menular dalam diri kita, tak salah jika kita mengubati hati kita yang belum terkena penyakit kerana ia akan mendekatkan hati kita kepada Maha Pencipta. Secara tidak lansung akan menjadi benteng untuk kita. Lagipun mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Antara amalan-amalan yang digalakkan ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran dan membaca maknanya, ringankan badan untuk bangun beribadah diwaktu malam, basahkan bibir dengan berzikir mengingati Allah, kawallah nafsu dengan selalu berpuasa, atau setidak-tidaknya berkawanlah dengan mereka-mereka yang bersahabat kerana Allah.

Selain itu, sentiasalah berdoa agar diberikan petunjuk dan kekal berada didalam hidayah-Nya. Lebih-lebih lagi jika kita merasakan diri sudah terkena penyakit ini. Oleh itu berusahalah untuk memperbaiki diri..

Salam...

0 comments: