Guru oh guru -Usman Awang

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Kasih Ibu

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu.

1) Tolong pergi kedai : RM4

2) Tolong jaga adik : RM4

3) Tolong buang sampah : RM1

4) Tolong kemas bilik : RM2

5) Tolong siram bunga : RM3

6) Tolong sapu sampah : RM3

Jumlah : RM17

 

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA

2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA

3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA

4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA

5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA

Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku – PERCUMA

 

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh si ibu.

Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,

Saya Sayangkan Ibu.

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis .

Telah Dibayar pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Hari Ibu

'Hari Ibu' di Malaysia barangkali begitu sinonim dengan anugerah 'ibu mithali', justeru ianya diberi anugerah bagi memperlihat keprihatinan terhadap ibu-ibu yang dikagumi penampilannya. Sesudah anugerah disampaikan, segalanya akan berlalu macam debu-debu dipuput angin. Sebaliknya di barat tak pula ditampilkan 'ibu mithali' dengan anugerah dan juga laporan media mengenai keprihatinan pimpinan kerajaan. Di Sweden misalnya, ketika aktivis mengunjungi kawasan di pendalaman Surrahammar, 1996 kebetulan hari itu merupakan 'hari ibu', suasananya agak berbeza sedikit.

Kalangan ibu diberi cuti sehari dengan tak perlu melakukan kerja-kerja rumah sepanjang hari. Segala kerja rumah dilakukan oleh kaum bapa, termasuk memasak, berkemas rumah, cuci pakaian, mengurus anak-anak ke sekolah, malah menyusukan bayi. Lebih menarik, kaum bapa boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sekiranya kaum ibu tak diberi cuti. Ketika aktivis berkunjung ke rumah satu keluarga, si isteri sekadar duduk sahaja melayan tetamu, sementara si suami melakukan kerja-kerja suri rumah.

 

Selamat Hari IbuJ