Showing posts with label maulidurrasul. Show all posts
Showing posts with label maulidurrasul. Show all posts

Ar-Raheeq Al-Makhtum

Alhamdulillah, setelah berapa lama mencari akhirnya dapat juga memiliki sebuah buku yang mengisarkan sirah Rasulallah S.A.W. Sungguhpun berlainan penerbit, InsyaAllah isi kandungannya sama, yang berbeza mugkin dari segi kualiti penjilidan sahaja.

Buku karangan Saifurrahman Al-Mubarakfuri dan diterjemah oleh Mohd Darus Senawi Ali ini ditulis dalam bentuk krologi kejadian menjadikan ianya lebih menarik dan mudah untuk dibaca serta dihayati isi kandungannya. Dibahagikan kepada 57 tajuk besar dan diikuti dengan beberapa tajuk kecil selepasnya dengan 715 bilangan muka surat secara keseluruhan.

Buku ini pada asalnya dikarang di dalam bahasa Arab dan Urdu mendapat tempat pertama dalam pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam pada 1979 mengalahkan 170 karangan lain. Tajuknya dinamakan Ar-Raheeq Al-Makhtum berdasarkan ayat Al-Quran surah Al-Mutaffifin (83:25), Yusqawna mirraheeq-(in)-makhtum-(in) yang membawa maksud 'mereka diberi minum dari minuman yang termeterai bekasnya'.

Idola



Satu soalan yang sering diajukan ialah "siapakah idola kamu?", "siapakah yang kamu ingin jadikan sebagai 'role model'?" Mungkin sekali jawapan yang keluar dari mulut ialah selain dari Rasulullah s.a.w. Dalam menyambut 12 Rabiul Awwal ini, ingin saya mengajak saudara menghayati firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21;



"sesungguhnya telah ada pada (diri) rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah."

Tidak dapat disangkal bahawa Baginda sememangnya layak untuk dijadikan idola, 'role model'. Memang tidak dapat dinafikan sebahagian daripada anak-anak dan remaja terkeliru dalam soal memilih idola. Contohnya remaja yang memilih artis sebagai idola mereka. Kebanyakan artis yang dijadikan idola ini tidak mencerminkan rasa malu padahal tahap keimanan seseorang itu berkait rapat dengan malu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
"Iman itu ada lebih 60 cabang, dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."

Adakah cukup sekiranya kita mengatakan bahawa idola kita adalah Rasulullah s.a.w, tetapi apabila ditanya mengenai peribadi Baginda, kehidupan Baginda, jawapannya hanyalah "errr.." Amatlah malang sekiranya perkara ini berlaku sedangkan pabila ditanya mengenai artis, lancar sahaja mulut mengatakan itu ini. Apakah ciri-ciri yang tidak ada pada diri baginda? Baginda merupakan pemimpin ulung, pemerintah agung, suami yang adil, ayah yang penyayang, kawan yang setia, berbudi bahasa, pemaaf dan banyak lagi.

Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah berusaha untuk mengenali Rasulullah s.a.w dengan lebih mendalam. Belilah buku-buku mengenai sirah-sirah nabi, peribadi nabi dan yang seumpama dengannya. Jika tidak tahu nak beli buku, layarilah internet dan bermacam-macam cara lagi. Dan yang paling penting ialah berusaha untuk melaksanakannya dalam kehidupan seharian.

Tanamlah dalam diri kita, keluarga kita terutamanya adik-adik, rakan-rakan kita untuk menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai idola dan insyaAllah anak-anak kita di kemudian hari. Harapnya kita dapat bersama mengambil iktibar dan pengajaran.

Selamat menyambut Maulidurrasul
salam...