SEDIH dan kecewa apabila membaca berita mengenai tindakan melampau dan  biadap sekumpulan rakyat Indonsia yang mengadakan unjuk perasaan di  kedutaan Malaysia di Jakarta bertindak memijak dan melumurkan najis ke  atas Jalur Gemilang, bendera negara.
Perbuatan  itu meskipun tidak menyakitkan fizikal rakyat dan negara Malaysia  tetapi ia cukup menghiriskan hati dan perasaan rakyat negara ini. Ini  kerana bendera adalah kehormatan dan maruah sesebuah negara. Apa juga  penghinaan dilakukan ke atasnya sesuatu yang sensitif.
Jadi  apabila ianya diinjak dan dilumurkan najis samalah, kepala rakyat negara  ini diinjak dan disapu tahi. Perbuatan itu sungguh hina dan tidak  bertamadun. Membuli kepala orang lain adalah perbuatan yang paling hina  dan keji.
Malang sekali, masih ada kelakuan tidak beradat yang  berlandaskan emosi semata-mata. Di keadaan hari ini dan apa lagi antara  dua buah negara berjiran sepatutnya kejadian itu tidak berlaku. Tetapi  kerana kumpulan itu cetek mengenai semangat kejiranan dan lebih  bersultan di mata, maka berlakulah perbuatan yang menghinakan itu.
Timbul  persoalan apakah kejadian ini menunjukkan Indonesia, negara serumpun  dengan Melayu telah melupai asal usul mereka atau pun tidak mempedulikan  kepada orang lain. Selalu merasakan diri 'gedebe' dan kuat. Ataupun  pemerintahan Indonesia gagal untuk mentertibkan rakyat negara berkenaan?
Indonesia  bolehlah dianggap sebagai abang kepada Malaysia. Kalau tarikh  kemerdekaan diambil kira untuk mengukur cerdik atau bodoh rakyat  sesebuah negara itu, ternyata rakyat Indonesia lebih awal cerdik dari  rakyat Malaysia.
Indonesia merdeka awal 12 tahun dari Malaysia. Indonesia merdeka 1945 manakala Malaysia 1957.  Sepatutnya kemerdekaan yang diperolehi awal 12 tahun itu Indonesia  menjadi negara pembimbing. Dengan pengalaman dan semangat menentang  penjajah Indonesia yang ampuh ia bertindak memberi petunjuk dan teladan  yang baik kepada si adik. Disepanjang masa sepatutnya rakyat Indonesia  memberi tunjuk ajar kepada rakyat Malaysia dan bukannya mempamirkan  sikap buruk.
Tetapi malang tampaknya kenyataan itu tidak berlaku.  Kemerdekaan yang diperolehi awal itu gagal untuk diraih dan  dipergunakan sebaik mungkin oleh segelintir rakyatnya untuk menjadi  manusia yang bermaruah tinggi dan tahu menghormati hak orang lain.
Tindakan  kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat  (Bendera) itu menghina dan mencabar maruah rakyat negara. Kejadian  menghina, membakar bendera negara ini juga bukan sekali. Tetapi sudah  acap kali. Seolah bagi segelintir rakyat Indoneisa membakar bendera  Malaysia satu permainan harian buat mereka.
Nasib baik setiap  kali berlaku kejadian seumpama itu rakyat Malaysia tidak 'ikut erel' dan  membiarkan saja dengan memendamkan marah. Bukan soal rakyat negara ini  takut atau pengecut tetapi tidak mahu melayani perbuatan budak-budak  nakal begitu. Bayangkan macam mana jadinya kalau Malaysia 'ikut erel'  atau ada sekumpulan orang Malaysia yang juga berperangai begitu? Tentu  keadaannya memburukkan lagi
Tindakan kumpulan Bendera itu bukan  apa sangat. Puncanya ialah ekoran insiden yang berlaku di perairan  Malaysia - Indonesia yang melibatkan penahan nelayan dari Malaysia dan  penahan pegawai Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin yang  didakwa menceroboh perairan Malaysia. Itu saja. Kalau kumpulan berkenaan  waras ia tidak perlu sampai membuat tindakan protes dan main  baling-baling tahi kerana kedua-dua pihak telah melepas 'tahanan'  masing-masing.
Perkara itu boleh dilupakan begitu saja jika  kumpulan berkenaan memiliki semangat kejiranan yang tinggi. Ataupun  jalau mereka menyedari bahawa terdapat kira-kira 2 juta rakyat negara  itu yang mencari makan dan beranak pinak di sini. Mereka tidak perlu  sampai menyerang kedutaan Malaysia dan melumurkan tahi. Jelas perbuatan  itu semacam sengaja mahu mengheret rakyat negara ini ikut mengikut  rentak mereka. Ianya ada motif tertentu.
Apapun insiden seperti  hendaklah tidak akan berlaku di lain kali. Indonesia harus memberi  didikan akhlak kepada kumpulan berkenaan. Walaupun ekoran tindakan itu  tidak ada balasan dari Malaysia, tetapi Indonesia harus merasa malu  kepada dunia seluruhnya. Sedarlah tidak ada rakyat di negara maju yang  main baling-baling tahi dan melumurkan bendera negara lain dengan tahi.
Sesungguhanya  perbuatan kumpulan Bendera itu bukan satu keberanian tetapi menjelaskan  akan keburukan tabiat dan juga perangainya. Apabila najis boleh  dijadikan alat permainan atau senjata maka tahulah kita sejauh mana hati  budi dan keupayaan seseorang itu. Monahara oh Monahara di mana engkau? [wm.kl. 5:20 am 24/08/10]
http://msomelayu.blogspot.com/
 
 
